MANCHESTER: Dua jaringan Kevin de Bruyne dan Riyad Mahrez membantu Manchester City membenam Manchester United 4-1, sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu liga kepada enam mata mengatasi Liverpool.
Selepas cuba memberi tentangan pada babak pertama, United bagaikan ‘menyerah’ di separuh masa kedua untuk membolehkan tuan rumah menguasai permainan.
Kekalahan itu menyukarkan peluang Red Devils untuk merampas semula kedudukan keempat selepas dipintas oleh Arsenal yang terdahulu menumpaskan Watford 3-2.
City tidak pernah mengalahkan United di Etihad sejak 2018, namun hari ini mereka bermula sempurna selepas De Bruyne membuka jaringan seawal minit kelima.
Biarpun United cuba melawan dengan menyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik Jadon Sancho pada minit ke-22, namun jaringan itu langsung tidak menjejaskan semangat tuan rumah.
De Bruyne hanya memerlukan enam minit kemudian untuk kembali meletakkan City di depan.
Memasuki separuh masa kedua, skuad The Citizens bertali arus mengancam kubu lawan dan memaksa penjaga gol United, David de Gea berhempas pulas menyelamatkan gawang.
United yang turun tanpa Cristiano Ronaldo dan Edinson Cavani gagal melancarkan serangan bahaya ke kubu lawan
Jaringan Mahrez pada minit ke-68 menyentap sebarang usaha United untuk melakukan kebangkitan dan gol keduanya yang dua inci melepasi perangkap ofsaid di minit ke-90 memadam terus harapan Red Devils. – AGENSI