PETALING JAYA: Kempen Piala AFF 2020 kali ini nyata memberi cabaran cukup besar buat pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila berdepan pelbagai ‘ujian’ sebelum dan selepas pasukan memulakan aksi di kejohanan berkenaan.
Gagal mendapat beberapa pemain yang dimahukannya untuk dibawa ke Singapura dan apabila tiba di lokasi kejohanan, empat pemain negara positif Covid-19 serta tiga pemain cedera.
Terbaharu adalah dua tonggak pertahanan negara, Shahrul Saad dan kapten pasukan Aidil Zafuan Abd. Radzak yang disahkan tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya menjelang aksi pertemuan dengan Indonesia pada 19 Disember nanti.
“Agak malangnya mereka berdua tidak dapat beraksi menentang Indonesia dan saya harap dapat sembuh secepat mungkin supaya dapat bermain di separuh akhir nanti.
“Memang merasai kehilangan dua tonggak pertahanan ini tapi dalam bola sepak macam-macam boleh berlaku. Kami barisan kejurulatihan akan membuat perancangan terbaik bagi menghadapi pasukan Indonesia dan berdepan situasi seperti ini.
“Kita kini akan memberi lebih fokus kepada taktikal dan mahu elak kecederaan ketika sesi latihan. Paling penting adalah kekal minda positif dalam diri setiap pemain,” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.
Skuad negara ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan B meskipun berkongsi enam mata dengan Indonesia dan Vietnam yang berada di kedudukan teratas dan kedua kerana memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.
Dalam pada itu, berita gembira buat kem negara apabila pemain kacukan yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools akan tiba pada pagi Khamis di Singapura dan menyertai pasukan tanpa perlu menjalani kuarintin.
Kehadiran pemain FC Midtjylland berusia 25 itu yang boleh beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan dan bahagian tengah mampu memberi keseimbangan kepada pasukan negara.
“Cools akan tiba pada 16 Disember pagi dan harap dia berada dalam keadaan baik sebab masa dan cuaca yang berbeza berbanding di Eropah.
“Tiada kuarintin dikenakan kepadanya dan dia akan terus bersama pasukan. Saya sudah berkomunikasi dengan dia dan Cools sendiri mengakui sudah bersedia untuk mengharungi Piala AFF,” ujarnya.
Kali terakhir Cools bersama Skuad Kebangsaan dan membuat tiga penampilan adalah pada Jun lalu ketika mengharungi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lalu. – UTUSAN ONLINE