LONDON: Kesilapan Aaron Wan Bissaka menggagalkan usaha Manchester United untuk melakar kebangkitan hebat apabila terpaksa berpuas hati seri 1-1 dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea sebentar tadi.
Selepas tewas dalam dua perlawanan terakhir liga, United hampir melakar kebangkitan sempurna selepas Jadon Sancho meletakkan mereka di depan pada minit ke-50.
Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan Jorginho yang membenarkan Sancho merampas bola dari tengah padang sebelum tenang menewaskan penjaga gol, Edouard Mendy.
Tiga mata yang diharap dapat dibawa pulang dari Stamford Bridge bagaimanapun tidak kesampaian.
Pada minit ke-67, Bissaka menjatuhkan Thiago Silva di penjuru kotak penalti untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.
Jorginho menebus kesilapannya apabila melakukan tendangan sempurna untuk menewaskan David de Gea, sekali gus memberi gol penyamaan buat Chelsea.
Biarpun Blues beberapa kali menguji gawang United menuju ke penghujung perlawanan, termasuk rembatan Antonio Rudiger yang melewati palang gol, namun kedudukan 1-1 kekal hingga tamat permainan.
Pengurus sementara United, Michael Carrick meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan, sebelum memasukkannya pada babak kedua.
Begitupun, tidak banyak yang dapat dilakukan bintang Portugal itu di hujung permainan.
Chelsea kekal di tangga teratas liga, namun semakin diekori rapat oleh Manchester City dengan satu di mata di belakang, manakala Liverpool di tangga ketiga dengan ketinggalan dua mata.
United pula masih tidak keluar dari kedudukan kelapan. – AGENSI