RENNES: Biarpun kecewa dan marah dengan kekalahan 0-2 Paris Saint-Germain (PSG) kepada Rennes dalam aksi Ligue 1 kelmarin, namun Mauricio Pochettino enggan menyalahkan sistem sebagai punca kekalahan mereka.
Pochettino juga enggan menyalahkan pemain, sebaliknya sedia memikul tanggungjawab atas kekalahan itu.
Dua gol Rennes dalam babak berbeza menerusi Gaetan Laborde dan Flavien Tait mencalarkan rekod lapan kemenangan berturut-turut pendahulu Liga Perancis itu.
Lionel Messi disenaraikan bersama Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria buat kali kedua, iaitu permulaan keduanya dalam Ligue 1 selepas tidak bermain pada dua perlawanan awal kerana kecederaan lutut.
“Saya tidak rasa kami menggunakan sistem yang salah, atau perlu mengubahnya. Kami melalui tempoh 25 minit dengan baik pada babak pertama.
“Pada awal permainan, kami agak hambar, namun kami bermain dengan kualiti bola sepak selama kira-kira 30 minit.
“PSG mungkin terkesan secara psikologi selepas dibolosi, selepas itu perlawanan menjadi terbuka,” kata Pochettino.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan gergasi Perancis itu tewas buat kali pertama sejak awal April lalu setelah 15 perlawanan liga.
“Ketika kami menewaskan Manchester City, ia satu usaha menyeluruh. Orang pertama yang perlu bertanggungjawab (di atas kekalahan ini) adalah saya.
“Tiada siapa sukakan kekalahan. Kami amat kecewa dan sedih kerana gagal menyudahkan peluang, sebaliknya melepaskan gol,” kata Pochettino. – AGENSI