LONDON: Cristiano Ronaldo bersetuju dengan terma perjanjian bagi melengkapkan perpindahan sensasi ke Manchester City.
Sumber memberitahu ESPN, pengendali City, Pep Guardiola sudah bercakap dengan Ronaldo hari ini dan bintang Portugal itu mahu meninggalkan Juventus.
Halangan terbesar yang mungkin dihadapi skuad The Citizens untuk mendapatkan pemain berusia 36 tajun itu adalah yuran perpindahan yang bakal dituntut Juventus.
Gergasi bola sepak Itali itu dikatakan meletakkan tanda harga sekitar 28 juta euro (RM138.12 juta) untuk melepaskan Ronaldo kerana tidak sanggup lagi membayar gajinya yang tinggi.
City membuat keputusan saat akhir untuk membawa masuk kapten Portugal itu selepas Harry Kane mengesahkan dia akan kekal bersama Tottenham.
Guardiola mencari penyerang bagi menggantikan kekosongan Sergio Aguero yang berpindah ke Barcelona.
Sumber tersebut bagaimanapun memberitahu ESPN, City dan Juventus belum memulakan rundingan, namun kedua-dua pasukan dijangka bertolak ansur dalam soal yuran perpindahan.
City keberatan untuk membayar yuran yang tinggi, sebaliknya menawarkan Raheem Steeling sebagai pakej pertukaran.
Juara Liga Perdana Inggeris itu juga sedia memperuntukan 13 juta pound (RM74.76 juta) setahun untuk gaji Ronaldo.
Ejen pemenang lima gelaran Ballon d’OR itu sudahpun berada di Juventus bagi membincangkan masa depan pemain tersebut. – AGENSI