LONDON: Cristiano Ronaldo akhirnya kembali ke Old Trafford 12 tahun selepas meninggalkan Manchester United untuk menyertai Real Madrid.
Bintang penyerang Portugal berusia 36 tahun itu akan menandatangani kontrak dua tahun, umum United dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Menurut United mereka sudah mencapai persetujuan dengan Juventus mengenai perpindahan Ronaldo dan hanya menunggu pemain itu menjalani ujian perubatan sebelum kontrak dimeterai.
Welcome ????, @Cristiano ?#MUFC | #Ronaldo
— Manchester United (@ManUtd) August 27, 2021
“Cristiano, pemilik lima gelaran Ballon d’Or dan pemenang 30 trofi utama, termasuk lima piala Liga Juara-Juara, empat Piala Dunia Kelab, tujuh kejuaraan liga di England, Sepanyol dan Itali serta gelaran Eropah bersama Portugal.
“Ketika kali pertama bersama Manchester United dia meledak 118 gol dalam 292 perlawanan. Semua orang di kelab amat mengalu-alukan kepulangan Cristiano ke Manchester,” tulis United.
Ronaldo sebelum itu dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, namun dia merubah fikirannya sebaik saja menerima tawaran daripada United.
Kapten Portugal itu menyertai United pada 2003, sebelum meninggalkan kelab itu untuk berhijrah ke Real Madrid pada 2009.