JOHOR BAHRU: Hasrat Terengganu FC II untuk menghidupkan peluang menjuarai Liga Perdana semakin samar setelah tewas 2-3 di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut juga membolehkan JDT II memintas pasukan dari Pantai Timur itu dalam kedudukan ketiga liga selain membalas dendam apabila tewas di tangan lawan, April lalu.
Dalam perlawanan itu, pasukan pelawat bermula garang sebaik saja sepak mula dan hampir mendapat gol awal pada minit pertama namun ketangkasan T. Shaheeswaran berjaya menidakkan percubaan berganda Jordan Mintah dan Amirul Syazwan Nor Azmi.
Shaheeswaran sekali lagi tangkas menafikan peluang Terengganu II menerusi rembatan Masaki Watanabe dengan menolak keluar percubaan dari jarak dekat pada minit kedua.
Pasukan tuan rumah cuba menguji kekebalan benteng pertahanan Terengganu II menerusi percubaan Stuart Wilkin, Fernando Rodriguez dan Alif Abdul Mutalib namun gagal merobek gawang lawan.
Terengganu II memperoleh gol pembukaan hasil jaringan Mintah yang memintas hantaran ke belakang oleh Chia Ruo Han dan membuat larian solo sebelum mudah menewaskan Shaheeswaran pada minit akhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Rafael Sanchez meningkatkan rentak permainan bagi mencari gol penyamaan dan gol yang dicari berjaya dihasilkan pada minit ke-52.
Gerakan yang dimulakan Kei Hirose itu mengumpan Alif di bahagian sayap kanan sebelum membuat hantaran silang mencari Rafiefikri Rosman yang mudah menolak bola menerjah gawang lawan.
Skuad JDT II terus garang menggandakan asakan untuk menambah jaringan dan berjaya berbuat demikian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti setelah Hirose dikasari Argzim Redzovic dan Watanabe.
Rodriguez tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu untuk meletakkan JDT II di hadapan pada minit ke-61.
Terengganu II hampir mengikat kedudukan namun kecekapan Shaheeswaran berjaya menidakkan percubaan Mintah dalam keadaan satu lawan satu pada minit ke-63.
Hirose yang beraksi cemerlang pada perlawanan itu akhirnya berjaya memahatkan namanya dalam senarai penjaring apabila bijak memanfaatkan hantaran Rodriguez dan tidak berdepan tugas sukar bagi mencipta jaringan.
Pasukan bimbingan Badrul Afzan Razali itu berjaya menambah jaringan pada minit akhir permainan hasil jaringan Watanabe namun kesuntukan masa untuk mencari gol penyamaan.