ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak masih menyimpan harapan untuk membawa anak-anak buahnya beraksi dalam saingan Piala AFC musim ini.
Menurutnya, pemain Kedah tetap menampilkan semangat tinggi setiap kali turun berlatih ketika masing-masing mahu membuktikan sesuatu sekiranya dapat beraksi dalam kejohanan itu nanti.
Begitupun katanya, mereka kini sedar kemungkinan besar terpaksa menelan kepahitan sekiranya penyertaan empat kumpulan dalam kejohanan tersebut terpaksa dibatalkan, kesan daripada pandemik Covid-19 seperti diumumkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini.
“Setakat ini masih belum ada kata putus mengenai pembatalan itu dan sudah tentu, kami masih terus berharap agar saingan itu diteruskan.
“Jika anda tanya mana-mana jurulatih pun, mereka pasti kecewa sekiranya saingan tersebut dibatalkan.
“Piala AFC merupakan satu kejohanan berprestij serta berbeza dengan liga domestik dan sudah tentu kami amat berharap untuk tampil dalam saingan sebegitu,” katanya kepada pemberita semalam.
AFC dalam kenyataannya semalam memaklumkan, aksi kumpulan D, G, H dan I Piala AFC berkemungkinan akan dibatalkan setelah tiada mana-mana negara yang mahu menjadi tuan rumah dalam aksi melibatkan pasukan bertanding.
Perlawanan membabitkan Kumpulan H dan I yang melibatkan dua wakil Malaysia iaitu Kedah dan Terengganu FC (TFC), pada awalnya dijadualkan diadakan di Singapura namun negara itu membuat keputusan untuk menarik diri.
Ekoran tiada negara yang sehingga kini masih belum menyatakan kesudian untuk menjadi tuan rumah, AFC dijangka mengeluarkan surat rasmi mengenai pembatalan aksi dalam empat kumpulan tersebut dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut Aidil berkata, sekiranya pembatalan itu benar-benar berlaku, beliau mahu semua pihak dalam pasukan segera melupakannya dan fokus kepada pusingan kedua Liga Super yang akan bersambung 24 Julai depan.
“Sebelum liga bersambung, saya berharap dapat setidak-tidaknya mengadakan empat perlawanan persahabatan bersama pasukan lain.
“Setakat ini ada beberapa pasukan sudah menyatakan persetujuan antaranya Sabah FC serta PDRM FC,” ujarnya.