PETALING JAYA: Tonggak pertahanan kiri negara, Corbin Ong mengakui Vietnam merupakan pasukan yang begitu berdisiplin dan lawan sukar tetapi tidak bermakna pasukan negara tidak mampu menewaskan mereka.
Jelasnya, pasukan Vietnam kendalian Park Hang-seo itu memiliki kualiti tersendiri terutama apabila skuad Harimau Malaya gagal meraih kemenangan pada pertemuan terakhir di Hanoi pada 2019.
Begitupun, dengan kelebihan dari segi ketinggian, mungkin ‘set piece’ antara cara terbaik untuk skuad negara meraih jaringan menjelang aksi menentang Vietnam dalam Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Sabtu ini.
“Saya masih ingat ketika pertemuan bertemu Vietnam di Hanoi sebelum ini. Mereka berjaya menang 1-0 meskipun gagal mempamerkan aksi yang berkualiti tinggi.
“Kelebihan mereka adalah kekuatan bermain dalam satu pasukan selain pertahanan yang cukup mantap dan memanfaat setiap peluang terhidang.
“Kami perlu berhati-hati pada aksi tersebut nanti. Bagi saya ‘set piece’ antara kelebihan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kita memiliki pemain tinggi seperti Liridon (Krasniqi), Junior (Eldstal) dan Dion (Cools),” katanya.
Skuad negara ketika ini menduduki tangga keempat Kumpulan G dengan sembilan mata tetapi masih berpeluang melayakkan diri ke pusingan kelayakan seterusnya sekiranya menang pada dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Thailand.