SEVILLE: Jaringan sendiri oleh penjaga gol Slovakia, Martin Dubravka menjadi pencetus kepada pesta gol Sepanyol untuk skuad bimbingan Luis Enrique itu menang 5-0, sekali gus mara ke peringkat kalah mati Euro 2020, sebentar tadi.
Terdahulu, skuad La Roja berupaya berada di depan seawal minit ke-24, namun tidak berhasil selepas penyerang mereka, Alvaro Morata gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam saingan terakhir Kumpulan E itu.
Perlawanan di Stadium La Cartuja itu menyaksikan Dubravka meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-30 selepas tertampan bola ke gawang gol sendiri.
Bermula dari detik hitam itu, Sepanyol kemudian menambah derita Slovakia menerusi jaringan Aymeric Laporte pada minit ke-45+3, Pablo Sarabia (m-56), Ferran Torres (m-67) dan gol sendiri Juraj Kucka (m-71).
Jaringan besar itu membolehkan Sepanyol muncul pasukan kelima melakukan lima gol untuk menang dalam kejohanan berkenaan selepas Perancis dan Denmark pada 1984, Belanda (2000) dan Sweden (2004).
Juara Eropah tiga kali itu menempah pertemuan dengan Croatia dalam saingan 16 terakhir yang dijadualkan berlangsung Selasa depan di Copenhagen, Denmark.- AGENSI