AMSTERDAM: Belanda mengakhiri kempen Kumpulan C dengan kemenangan 3-0 menewaskan Macedonia Utara di Stadium Bucharest tadi sekaligus menempah slot dalam peringkat kalah mati pada Ahad ini.
Penyerang Memphis Depay pantas menerima hantaran Donyell Malen dalam petak penalti dan meledak gol pertama selepas pasukan Belanda tangkas memintas serangan Macedonia Utara pada minit ke 20.
Gol kedua skuad Oranje pula disumbang pemain tengah, Georginio Wijnaldum pada minit ke 51 yang memanfaatkan hantaran Depay di hadapan pintu gawang menewaskan penjaga gol Macedonia Utara, Stole Dimitrievski.
Oranje yang menguasai 59 peratus perlawanan terus selesa apabila bola ditepis Dimitrievski ekoran serangan Depay, pantas dimanfaatkan Wijnaldum untuk meledak gol Macedona Utara sekali lagi pada minit ke 58.
Dalam babak pertama, Macedonia Utara nyaris mendahului perlawanan apabila penyerangnya, Aleksandar Trajkovski menunjukkan kelemahan pasukan Belanda dengan menjaringkan gol pada minit ke 21, namun ofsaid.
Sementara itu, Austria pula berjaya menempah slot di Stadium Wembley, London Sabtu ini selepas menewaskan Ukraine 1-0 dalam aksi terakhir kedua-dua pasukan pada peringkat kumpulan di Stadium Bucharest tadi.
Gol pasukan Austria dicetak pemain tengahnya, Chirstoph Baumgartner pada minit ke 21 yang dibantu pemain pertahanan, David Alaba.
Ukraine tidak bernasib baik apabila hanya lima cubaan yang dilakukan gagal menembusi kubu Austria sekaligus kekal menduduki tangga ketiga Kumpulan C dan terlepas peluang melangkah ke perlawanan kalah mati. – AGENSI