PETALING JAYA: Prestasi luar bisa yang dipamerkan Amri Yahyah dalam tiga perlawanan terakhir dengan meledak empat gol dalam ketiga-tiga aksi berkenaan, menyaksikan namanya menjadi ‘buah mulut’ peminat bola sepak tempatan.
Lebih dikenali dengan panggilan Wak Am, Amri membuktikan usia bukan penghalang untuk seseorang pemain mempamer aksi terbaik, apatah lagi bermain dalam liga utama.
Begitupun paling mencuri tumpuan apabila ada dalam kalangan peminat membandingkan dia sebagai jelmaan Zlatan Ibrahimovic, terutama selepas meledak dua gol ketika membantu Sabah menewaskan Melaka United 3-1, Rabu lalu.
“Wak Am ni nak jadi jelmaan Zlatan ka,” tulis Ibnuyusof dalam Twitter.
“Dah macam Zlatan. Lepas ni bina otot sikit wak am,” kata Nasrullah.
“Amrimovid,” ujar Ridwan.arj.
Amri yang telah berusia 40 membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang pemain itu menyerlah di atas padang apabila meledak gol-gol menarik dan ada juga dalam kalangan peminat meminta pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mempertimbangkan untuk memanggil Amri menyertai skuad negara.
“Amri ni penghasil jaringan-jaringan di luar jangkaan,” tulis Bobbyfahmi.
“Ingat lagi masa Malaysia lawan Manchester United wak am jaring gol voli dari jauh hari ini terubat rindu nak tengok gol macam itu,” ujar Manhakim.
“Jurulatih Cheng Hoe kena ambil dia untuk latihan pusat seterusnya. Kalau ikut prestasi semasa, ini satu-satunya penyerang tempatan yang berada dalam prestasi terbaik. Abaikan umur, pengalaman itu kena bawa untuk bimbing pemain muda,” kata Amirulrazin.
Sementara itu, bekas pemain Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam satu kapsyen gambar yang dimuat naik di Instagram miliknya Ratu_amri berkata: “Memang benar sabar itu indah. Alhamdullillah syukur, rezeki Ramadan.”