IPOH: Bagi mengatasi isu serangan tumpul, Perak membawa masuk penyerang kelahiran Ghana, Nana Poku sebaik saja jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) dibuka hari ini.
Berusia 29 tahun, Poku tiba di Malaysia musim ini dengan menyertai pasukan bermasalah, UiTM FC sebelum menarik minat pengendali Perak, Chong Yee Fatt.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sudah memeterai ikatan dengan pemain berusia 29 tahun.
“Kita berharap dia menjadi penyelesai kepada masalah ketumpulan jentera serangan kita setakat ini,” kata Rizal.
Menurut Rizal, pengambilan Poku adalah salah satu usaha pengurusan kelab untuk memperkukuhkan jentera serangan adukan The Bos Gaurus.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemain dari Brazil juga kini berada di Perak
“Pemain itu sudah berada di sini dan perlu menjalani kuarantin 14 hari sebelum dapat beraksi untuk Perak,” katanya.
Perak FC punyai masalah ketumpulan jentera serangan meruncing ketika ini menyebabkan pasukan itu gagal memenangi yang sepatutnya mereka boeh menang.
Pasukan Bos Gaurus nyata terkesan berikutan ketiadaan penyerang prolifik Shahrel Fikri Md. Fauzi yang kini menyarung jersi Selangor FC.
Harapan yang disandarkan kepada pemain naturalisasi, Guilherme De Paula dan Careca tidak menjadi apabila kedua-dua pemain hilang taring setakat ini.