Ederson sedia ambil penalti - Utusan Malaysia

Ederson sedia ambil penalti

EDERSON.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sepakan penalti adalah perkara terakhir yang dimahukan Manchester City apabila berdepan Chelsea dalam final Liga Juara-Juara di Porto, Ahad ini.

Bagaimanapun skuad The Citizens dipersiapkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, terutama kejuaraan bakal ditentukan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol utama, Ederson tidak hanya berlatih menyelamatkan gawang, malah dia sendiri bersiap sedia melakukan sepakan jika keadaan memerlukan.

Tidak hanya Ederson, penjaga gol kedua, Scott Carson juga menjalani latihan menyekat penalti setiap hari dalam misi memburu kejuaraan ketiga musim ini selepas bergelar juara Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga.

City kurang bernasib baik setiap kali berdepan situasi penalti, yang mana Raheem Sterling dan Sergio Aguero antara penyerang yang sering gagal menyempurnakan peluang.

“Ederson sudah beberapa kali melakukan latihan mengambil tendangan penalti. Dia menguji saya dan Zack (Steffen) setiap hari, dia menendang bola dengan sangat kuat.

“Kadangkala tendangannya amat menyakitkan! Dia berlatih setiap hari dan bersedia pada bila-bila masa jika diberi peluang. Ia sangat hebat,” kata Carson.

Memiliki jentera hebat seperti Gabriel Jesus, Aguero, Ferran Torres, Phil Foden dan Kevin de Bruyne dan Sterling, pengendali City, Pep Guardiola berharap pasukannya tidak perlu mengharungi penentuan sepakan penalti hujung minggu ini.

Bagaimanapun, melihat benteng Blues yang turut ampuh diketuai penjaga gol, Edouard Mendy, Antonio Rudiger, Andreas Christensen dan Cesar Azpilicueta, dia bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

“Setiap kali selepas tamat latihan, ramai pemain akan berlatih mengambil sepakan penalti. Kami pula sentiasa diuji oleh sepakan-sepakan mereka.

“Apa pun, suasana di padang latihan amat berbeza dengan stadium. Kehadiran penyokong pasti memberi tekanan tambahan, tetapi kami berusaha sebaik mungkin untuk melakukan persiapan.

“Kami juga banyak menonton video-video lama bagaimana penalti diambil dan cuba membaca gerak tubuh mereka,” katanya.

 

LIGA JUARA-JUARA
(akhir)

AHAD
MANCHESTER CITY lwn CHELSEA
(Siaran langsung di Astro 819, 2.55 pagi)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya