PETALING JAYA: Biarpun berdepan ujian berat selepas kehilangan cahaya mata Jumaat lalu, namun demi Malaysia, Syahmi Safari tetap melapor diri dalam sesi latihan skuad Harimau Malaya di Bukit Jalil semalam.
Pertahanan tengah Selangor itu hanya tiba sehari lewat berbanding rakan-rakan sepasukan yang memulakan kem latihan pusat kelmarin.
Syahmi, 23, meluahkan kesedihan dengan memuat naik beberapa status di ‘Instagram Story’ mengenai kehilangan bayi perempuannya yang diberi nama Selma Rose Nayla Muhammad Syahmi.
Isterinya, Byla Nafissah turut memuat naik status dengan merelakan pemergian Nayla walaupun berat untuk melepaskannya.
“Masa baby dalam perut dia takde bagi sakit dekat mommy dia pun. Time nak bersalin baru rasa sakit kejap. Tu pun tengah push baby dah keluar separuh kita boleh tertidur dua kali sebab penat tak reti nak push lagi dah.
“Alhamdullilah 14.5.2021, 10.27 (malam) baby dah selamat keluar tapi baby dah main dekat taman syurga,” tulis Byla yang mendirikan rumah tangga dengan Syahmi, 23, pada tahun 2019.
Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau memahami kesedihan Syahmi dan memberi ruang buatnya ‘meredakan’ perasaan.
Begitupun katanya, seluruh pasukan berada di belakang pemain kelahiran Kuala Selangor itu untuk berdepan detik sukar tersebut.
“Sebagai manusia, pasti dia sedih. Kami akan terus memberi sokongan serta motivasi kepadanya,” kata Cheng Hoe.
Skuad bola sepak kebangsaan kini dalam persiapan akhir untuk menghadapi baki saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal diadakan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.
Skuad Harimau Malaya mula menjalani latihan di Stadium Bukit Jalil selama empat hari sebelum terbang ke Dubai 20 Mei ini.
Mereka bakal memulakan aksi pemanas badan dengan dua perlawanan persahabatan bertemu Kuwait (23 Mei) dan Bahrain pada 28 Mei ini.
Seterusnya menghadapi perlawanan penting bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).