PETALING JAYA: Mengumpul pengalaman berharga di Eropah selama tiga tahun, ubi muda negara, Aqil Arazi Aziz sedia beraksi jika namanya diseru skuad bawah 19 tahun (B-19) negara bagi mengharungi Sukan SEA 2021 di Hanoi, November ini.
Aqil, 18, yang juga pemain kelab divisyen kelima Perancis, AS Cannes berkata, dia sememangnya berhasrat menabur bakti kepada negara, dengan kemuncak matlamatnya menyarung jersi Harimau Malaya.
“Dapat mewakili negara bersama skuad kebangsaan adalah impian saya. Kalau boleh, saya ingin beraksi bersama pasukan B-19 dulu dan menghadapi saingan di Sukan SEA.
“Jika ditawarkan, saya ingin buktikan kemampuan saya 100 peratus kepada jurulatih kerana saya percayakan kebolehan yang saya miliki,” katanya yang tiba di tanah air sejak 4 Mei lalu dari
Perancis ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Tahun lalu, ubi muda itu mengejutkan arena bola sepak negara apabila terpilih menyertai AS Cannes yang terkenal dengan melahirkan pemain ternama dunia seperti Zinedine Zidane dan Patrick Vieira.
Sebelum terbang ke Perancis, anak kelahiran Kuala Lumpur itu sudah berada di Eropah kerana mengikuti pengajian akademik dan program intensif latihan bola sepak bersama Brooke House College, United Kingdom selama dua tahun selepas mendapat tajaan biasiswa.
Sementara itu katanya, biarpun skuad senior kelabnya beraksi di divisyen kelima, namun dia dipilih untuk mewakili B-18 dan B-19 AS Cannes yang beraksi di liga utama Perancis iaitu Championnat National.
“Beberapa nama kelab besar juga bersaing dalam liga itu seperti PSG (Paris Saint-Germain), Monaco, Lille dan Nice. Bagaimanapun saingan itu dibatalkan pada musim lalu susulan pandemik Covid-19.
“Tetapi saya masih dapat beraksi bersama kelab apabila diturunkan sebanyak lapan kali dalam aksi persahabatan. Antara kelab terbesar yang kami jumpa adalah menentang Marseille,” ujarnya.