KUANTAN: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus kukuh di persada liga manakala Pahang tewas buat kali keenam walaupun beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Kemenangan 0-2 JDT ke atas Sri Pahang sudah cukup menyaksikan kedudukan kedua tercorot kekal milik anak buah Dollah Salleh.
Bergson Da Silva pula terus membuktikan sentuhannya terus menjadi dengan sembilan gol daripada lapan perlawanan.
JDT melancarkan serangan awal ke kubu Pahang apabila berjaya memperolehi dua sepakan sudut dalam tempoh hanya 10 minit pertama permainan.

Anak buah Dollah juga sesekali membalas asakan pelawat tetapi tiada percubaan tepat ke arah pintu gol JDT yang dikawal Mohd. Farizal Marlias.
Usaha berterusan JDT akhirnya berbaloi selepas Leandro Velezque berjaya melakukan sepakan deras menewaskan penjaga gol Pahang, Muhamad Zarif untuk gol pertama pelawat pada minit ke-23.
Pahang tidak mudah patah semangat dengan melakukan serangan balas dan peluang terbaik muncul melalui sepakan sudut Lee Tuck tetapi gagal dimanfaatkan penyerang Pahang.
Pemain kedua-dua pasukan terus berbalas serangan sehingga berlaku beberapa kekasaran memaksa pengadil perlawanan Mohd. Yassin Mohd Hanafiah melayangkan empat kad kuning, dua Pahang dan dua JDT.
Memasuki babak kedua, bola lebih banyak berlegar di tengah padang tanpa gerakan menarik dari kedua dua pasukan.
Pahang berpeluang menyamakan kedudukan tetapi peluang terbuka gagal digunakan Muhamad Baqiuddin Shamsudin apabila bola sepakannya sedikit melewati palang gol JDT.
Minit ke-69, Pahang terpaksa beraksi 10 orang apabila pertahanan, Mohamad Ezanie diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua selepas mengasari Leandro Velazquez.
Bagaimanapun JDT sukar mengambil peluang kepincangan Tok Gajah apabila sukar menembusi pertahanan Pahang yang berkubu di kawasan sendiri.
JDT akhirnya menambah gol kedua melalui Da Silva pada masa tambahan waktu kecederaan.