PARIS: Skuad Paris Saint-Germain (PSG) dalam kebimbangan apabila penjaga gawang utama mereka, Keylor Navas mengalami kecederaan semasa aksi Ligue 1, menentang Strasbourg.
Dalam aksi itu, PSG menang 4-1 namun Navas terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama dan perkara itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong PSG terutama menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, esok.
Mereka juga mempersoalkan cara Mauricio Pochettino mengendalikan pasukan terutama menjelang perlawanan besar di peringkat Eropah.
“Dia dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga. Kami ada pasukan perubatan yang profesional, kami berharap tiada apa yang serius mengenainya,” kata pengendali Argentina itu.
Penyokong turut mempertikaikan keputusannya membenarkan Kylian Mbappe beraksi dalam masa penuh ketika menentang Strasbourg, sedangkan ia sekadar perlawanan kecil.
“Apa yang terbaik untuk Kylian ialah dia bersedia untuk beraksi. Jika dia merasakan sesuatu tidak kena, dia akan menjadi yang pertama menyuarakannya.
“Saya tidak boleh gembirakan semua orang. Apa yang saya lakukan ini adalah yang terbaik buat pasukan,” kata Pochettino.
Dalam aksi suku akhir pertama, PSG menang 3-2 ke atas Bayern Munich.- AGENSI