TMJ belanja RM244 setiap jersi ‘away’ - Utusan Malaysia

TMJ belanja RM244 setiap jersi ‘away’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Berita baik buat peminat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ingin mendapatkan jersi ‘away’ pasukan kesayangan mereka yang kini hanya dijual pada harga RM185 sehelai.

Ini kerana, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menanggung lebihan harga jersi berwarna utama putih itu yang sepatutnya berharga RM429 bagi versi pemain.

Malah, jersi kedua pasukan Harimau Selatan berjenama Nike itu akan boleh dibeli mulai pukul 11 pagi esok melalui JDT Online Store dan penjual rasmi pakaian tersebut.

JDT dalam satu kenyataan berkata, Tunku Ismail memutuskan untuk menanggung sebahagian itu sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong.

“Jersi ‘away’ dipilih sebagai hadiah istimewa kerana warna jersi itu melambangkan Stadium Sultan Ibrahim bersempena ulang tahun pertama stadium itu,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, jersi tuan rumah versi peminat yang berwarna biru juga akan dijual pada harga sama.

Namun, jersi ‘home’ itu akan dijual di laman sesawang Nike dan JDT.

Terdahulu, Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers memuat naik video pengenalan jersi JDT bagi musim ini kira-kira lima jam yang lalu.

Video berdurasi tiga minit enam saat itu mencatatkan 200,000 tontonan dan dikongsi lebih 4,700 Kali.

Dalam pada itu, rata-rata peminat meninggalkan komen positif dalam perkongsian video tersebut yang memuji corak jersi baharu tersebut disamping inisiatif TMJ menanggung lebihan harga jersi berkenaan.

Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Adam Mikail berkata, dia ‘keliru’ untuk mendapatkan jersi mana kerana tertarik dengan kedua-duanya yang lawa.

Tidak kurang juga, ada yang bangga apabila JDT sebagai pasukan bola sepak pertama di negara ini memaparkan logo Unicef di hadapan jersi tersebut.

“Unicef punya sponser (tajaan) tu, yang pertama dalam Liga Malaysia, juara lapan kali dalam tangan,” tulis Amirul Ashraf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya