LONDON: Joe Cole percaya, Takumi Minamino akhirnya sudah berjumpa ‘rumah sebenar’ di Southampton selepas meledak dua gol daripada tiga perlawanan sejak dipinjamkan oleh Liverpool.
Bintang Jepun itu menyertai The Saints pada hari terakhir jendela perpindahan bulan lalu selepas bergelut untuk mendapat tempat di Anfield.
Minamino sudah menjaringkan lebih banyak gol dalam Liga Perdana buat Southampton berbanding bersama Liverpool, pasukan yang disertai sejak Januari 2020.
Jaringan Minamino malam tadi membolehkan Southampton mengikat Chelsea 1-1 dan itu adalah gol keduanya selepas menentang Newcastle 6 Februari lalu.
“Prestasi seperti inilah yang kita mahu lihat daripada pemain Liverpool.
“Dia mempamer penamat yang hebat dan seolah sudah bertemu ‘rumah sebenar’
‘Gerakan Minamino dan hantaran berkualiti (Nathan) Redmond adalah gabungan yang sempurna,” kata Cole.
Sepakan penalti Mason Mount pada separuh masa kedua bagaimanapun menafikan hasrat Southampton untuk melakar kemenangan.
Minamino, 26, menyertai Liverpool selepas menarik perhatian Jurgen Klopp ketika pasukan itu menentang RB Salzburg dalam Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun dia hanya membuat dua penampilan bersama Reds musim ini, dan meledak gol pertamanya ketika Liverpool membelasah Crystal Palace7-0 Disember lalu. – AGENSI