Barcelona tersungkur di laman sendiri - Utusan Malaysia

Barcelona tersungkur di laman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Kylian Mbappe meledak hatrik menakjubkan untuk membantu Paris Saint-Germain (PSG) membenam juara lima kali, Barcelona 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara di Camp Nou sebentar tadi.

Beraksi tanpa Neymar tidak memberi masalah buat PSG untuk memenangi perlawanan pertama, peringkat 16 akhir, sekali gus mencerahkan peluang mara ke suku akhir.

PSG membawa bekalan amat selesa apabila menerima kunjungan Barcelona dalam aksi timbal balik di Paris, 10 Mac ini.

Beraksi di tempat sendiri, Barcelona memulakan permainan dengan positif selepas mendahului 1-0 pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti Lionel Messi.

Bagaimanapun Mbappe mencetuskan kebangkitan PSG dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-32 menerusi gerakan cantik yang turut melibatkan Marco Verratti dan Layvin Kurzawa.

Mbappe yang sudah dua tahun tidak menjaringkan gol pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara meletakkan PSG di depan pada minit ke-65.

Pemain yang dipinjam dari Everton, Moise Kean menghukum pertahanan Barca yang goyah apabila meledak gol ketiga PSG di minit ke-70.

Mbappe melengkapkan aksi sensasinya dengan melengkapkan kemenangan 4-1 PSG ketika permainan berbaki lima minit menerusi rembatan lencong ke penjuru gawang.

Biarpun menang selesa, namun mimpi ngeri 2017 yang menghantui PSG mendorong juara Perancis itu lebih berhati-hati menjelang perlawanan kedua, tiga minggu dari sekarang.

Pada 2017 di peringkat yang sama, PSG membelasah Barcelona dalam aksi  pertama, sebelum dibelasah 6-1 pada pertemuan kedua. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN