LONDON: Juara bertahan, Liverpool gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi Liga Perdana Inggeris berturut-turut selepas diikat 0-0 oleh Manchester United di Anfield sebentar tadi.
Trio serangan ampuh The Reds, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino juga gagal meledak gol dalam tiga perlawanan liga berturut-turut.
Keputusan seri menyaksikan United terus menerajui liga dengan kelebihan dua mata, manakala Liverpool jatuh ke tangga ketiga selepas dipintas oleh Leicester City yang menumpaskan Southampton 2-0 semalam.

Beraksi tanpa bek tengah yang semuanya cedera memaksa Jurgen Klopp meletakkan kapten, Jordan Henderson bergandingan dengan Fabinho mengetuai pertahanan Liverpool.
Pada ketika benteng Reds tampak meyakinkan, jentera serangan mereka sebaliknya terus tumpul untuk merobek gawang lawan biarpun tuan rumah berjaya menguasai permainan.
Ketika permainan berbaki 15 minit, United yang agak tenggelam dalam sebahagian besar perlawanan memperoleh dua peluang keemasan, termasuk menerusi rembatan Paul Pogba.
Ketangkasan penjaga gol, Alisson menyelamatkan gawang tuan rumah daripada dibolosi pada saat akhir, manakala kebangkitan yang cuba dilakukan Reds di hujung permainan selepas kemasukan Divock Origi juga tidak menjadi. – AGENSI