Harimau Malaya penerima terawal vaksin Covid-19? - Utusan Malaysia

Harimau Malaya penerima terawal vaksin Covid-19?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain Harimau Malaya difahamkan bakal menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 apabila vaksin itu yang dijangka tiba pada Februari ini di Malaysia.

Perkara itu diperkuatkan lagi selepas difahamkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS) itu juga telah memberi jaminan bahawa vaksin Covid-19 yang dibeli Malaysia adalah selamat kerana sudah diuji secara klinikal kepada puluhan ribu orang sebelum ini pada 3 Januari lalu.

Selain itu, Majlis Sukan Negara (MSN) juga dikatakan akan mencadangkan senarai nama atlet-atlet yang wajar mendapat suntikan awal bagi menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

Andai apa yang diperkatakan itu benar, pengendali Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mengalu-alukan idea tersebut dan menyifatkan ia bakal memberi kebaikan kepada pasukan untuk mengharungi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta berasa selamat.

“Saya fikir vaksin akan membantu pasukan kerana kita berada di peringkat kelayakan. Lagi pun kita perlu melakukan perjalanan (ke luar negara), jadi itu akan beri kebaikan kepada semua orang.

“Namun, saya sedar akan ada perdebatan tentang perkara itu tetapi ini untuk langkah keselamatan.

“Sebagai jurulatih, apa pun yang disarankan buat pasukan, saya akan mempertimbangkan kerana anda tidak tahu bila virus akan berakhir dan risiko dijangkiti. Dengan suntikan vaksin kita rasa lebih selamat,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berusia 52 tahun itu mengakui tidak sabar untuk mengumpulkan pasukannya bagi menjalani kem latihan pusat secara kuarantin yang dijadualkan pada 29 Januari ini.

Setakat ini FAM masih dalam proses perbincangan mengenai tempat latihan paling sesuai untuk pasukan menginap dan menjalani latihan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya masih mencari tarikh sesuai dan akan mempertimbangkan perubahan jadual yang dilakukan oleh Liga Bola sepak Malaysia (MFL).

“Ada perbincangan harus dilakukan kerana berkait dengan pelbagai pihak yang berkepentingan, jadi apa-apa cadangan dari FAM, kami akan menunggu maklum balas dari semua pihak yang berkepentingan termasuk kelab juga.

“Kami mungkin memerlukan beberapa waktu sebelum kami memutuskan masa yang tepat (bagi sesi latihan pusat skuad negara). Masih dalam proses perbincangan dan kami diperincikan pada Selasa atau Rabu ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai tempat latihan, Stuart mengakui ada beberapa cadangan tempat yang menjadi pilihan.

“Ada beberapa tempat pilihan tetapi perlu mendapat maklum balas daripada MSN dan KBS mengenai sebarang kemungkinan. Antaranya di Bukit Jalil,” jelasnya.

Selain itu, antara pilihan terbaik untuk skuad kebangsaan sudah pasti di pusat latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai kemudahan serba lengkap, malah majoriti pemain Harimau Malaya dari kelab itu.

Namun FAM perlu meminta persetujuan daripada pemilik kelab JDT Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terlebih dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya