KUALA LUMPUR: Pembatalan Piala FA buat musim kedua berturut-turut adalah keputusan tepat bagi mengelak jadual padat yang mampu mengundang risiko kecederaan pemain, kata pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak.
Kata Aidil, beliau juga menyokong penundaan sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 2021 dari 26 Februari ke 5 Mac ini bagi membolehkan semua pasukan melakukan persiapan cukup.
Larangan mengadakan latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari membataskan persiapan pasukan.
Biarpun sedih, namun katanya penundaan Liga M dan pembatalan Piala FA satu keperluan kerana kes pandemik Covid-17 masih di tahap membimbangkan.
“Memang saya sangat sedih (Piala FA dibatalkan), namun saya faham kenapa keputusan itu diambil kerana kita ada juga kepentingan lain yang perlu dilihat seperti skuad kebangsaan dan kejohanan di peringkat AFC.
“Kita kena hormat serta faham situasi sekarang yang melibatkan Covid-19 ini kerana kes masih tinggi di Malaysia. Ia adalah satu keperluan untuk keputusan itu diambil.
“Penundaan Liga M juga adil buat semua kerana banyak pasukan tidak boleh berlatih dan sudah tentu MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) telah melakukan kajian mendalam dari semua segi sebelum membuat keputusan.
“Begitu juga aksi pembukaan Sumbangsih dan saya rasa pandangan Johor Darul Ta’zim (JDT) juga telah diambil kira, jadi kami bersedia untuk bermain pada 5 Mac jika mengikut perancangan baru ,” kata Aidil.

Pengurus Sri Pahang FC, Dollah Salleh berkata, keselamatan pemain dan pegawai lebih penting dan perlu diutamakan ekoran lonjakan kes Covid-19.
Katanya, MFL perlu membuat keputusan agar ada ruang buat pasukan melakukan persiapan pramusim dan yakin pentadbir Liga M itu akan memikirkan tindakan susulan terbaik selepas PKP tamat 4 Februari nanti.0
“Apa yang kita kena tengok sekarang adalah keselamatan semua, kita sudah tentu tidak mahu kalau liga berjalan juga, akan ada kluster membabitkan pemain dan pegawai, jadi memang wajar Liga Malaysia ditangguh.
“Saya juga tiada masalah menerima hakikat tiada pertandingan Piala FA pada musim ini kerana sememangnya itu yang terbaik.
“Selepas liga ditangguh, semua orang mempunyai waktu yang amat suntuk untuk mengharungi jadual perlawanan,” katanya.