ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam beberapa isu melibatkan pengurusan terdahulu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Pengarahnya, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap berkata, kertas siasatan itu dibuka selepas menerima laporan dan beberapa maklumat daripada Pemuda Pas Kedah mengenai perkara tersebut semalam.
“SPRM akan menilai terlebih dulu sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah akta melibatkan bidang kuasa SPRM,” katanya di sini hari ini.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad mendedahkan beberapa isu melibatkan penyelewengan pengurusan terdahulu KFA.
Antara isu didedahkan Mohd. Firdaus adalah kutipan tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkaitan perpindahan Akhyar Rashid ke JDT, penajaan Chenang Bay dan penyata gaji pemain pasukan bola sepak Kedah.
Sementara itu, bekas Setiausaha Kehormat KFA, Mohd. Asmirul Anuar Aris pula mencabar pengurusan baharu KFA termasuk Presidennya, Muhammad Sanusi Md. Nor membuat laporan kepada polis dan SPRM berkaitan isu berkenaan.
Shaharom Nizam berkata, SPRM akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pihaknya belum menentukan lagi siapa yang akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Segalanya masih di peringkat awal dan saya harap tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” katanya.