MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer berkata, Edinson Cavani merasakan dia belum bersedia diturunkan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang bekas pasukannya, Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi ini (3 pagi waktu Malaysia).
Manchester United juga tidak membawa ketua pasukan, Harry Maguire dalam pertemuan dengan naib juara Eropah itu di Paris.
Maguire mengalami kecederaan ketika membantu United menewaskan Newcastle 4-1 dalam aksi terakhir Liga Perdana, Sabtu lalu.
“Sudah tentu kami mahu membawanya bersama tetapi dia sudah terlalu lama tidak beraksi.
“Saya fikir lebih baik dia meneruskan latihan untuk benar-benar bersedia. Edi (Cavani) tahu apa yang dia mahu dan perlu lakukan ketika ini.
“Dia merasakan dirinya tidak cukup bersedia sekarang,” kata Solskjaer kepada RMC Sport.
Cavani, 33, menyertai United awal bulan ini selepas meninggalkan PSG, kelab yang dinaungi selama tujuh musim.
Penyerang Uruguay itu telah meledak 200 gol sepanjang bersama PSG, namun musim terakhirnya di Perancis dibayangi kecederaan.
Dia juga tidak dapat beraksi apabila sudah pulih selepas Ligue 1 ditamatkan awal akibat pandemik Covid-19, selain terlepas Liga Juara-Juara bersama juara Perancis itu.
Itu bermakna, Cavani tidak mempunyai sebarang perlawanan kompetitif sejak Mac dan berusaha mengembalikan kecergasannya ketika ini.
Selain Cavani dan Maguire, Mason Greenwood, Jesse Lingard serta Eric Bailly juga tidak akan diturunkan dalam pertemuan dengan PSG.
Tanpa Maguire, lilitan kapten akan diambil alih oleh Bruno Fernandes. – AGENSI