LONDON: Nicklas Bendtner mendedahkan dia berjudi sehingga 400,000 pound (RM2.16 juta) dalam masa 90 minit di sebuah kasino di London biarpun berada di ambang muflis.
Kejadian tersebut berlaku pada 2011, ketika penyerang Denmark itu masih beraksi buat Arsenal.
Mengimbau insiden tersebut, Bendtner mengakui, pengalaman tersebut bagaikan ‘loceng yang membangunkannya daripada sihir’ – merujuk kepada kesukarannya melawan tabiat berjudi, malah pernah kehilangan hampir 5.4 juta pound (RM29.16 juta) dalam permainan poker.
“Saya amat mabuk ketika duduk di meja.
“Selepas 90 minit saya hilang 400,000 pound wang yang saya tidak miliki. Akaun bank saya berlebihan dan saya akan muflis jika tuah tidak memihak kepada saya.
“Saya berjalan terhuyung-hayang dan memercik air ke muka. Saya jumpa juruwang dan membeli 50,000 pound (RM270,000) chip,” kata Bendner kepada Guardian.
Kata Bendtner, dia berjaya mendapatkan semula 380,000 pound (RM2.05 juta) wang yang hilang pada malam itu tetapi mengakui telah mengambil risiko sangat besar.
Bendtner, 32, berkata, tiada orang di sekeliling yang menghalangnya daripada berjudi atau berkata ‘tidak’ kerana mereka hanya akan mengeluarkan kata-kata yang mahu didengari.