LONDON: Prestasi dan fizikal Cristiano Ronaldo masih dalam keadaan amat ‘hebat’ meskipun usia bintang penyerang Juventus itu sudah mencecah 35 tahun.
Bagi kebanyakan pemain bola sepak yang memasuki pertengahan 30-an, mereka akan mula mengalami kemerosotan prestasi, malah ada juga yang mengambil keputusan untuk menggantung but.
Bagaimanapun bagi Ronaldo, lariannya masih kencang, malah melihat fizikalnya ketika ini, tidak mustahil dia boleh bermain di peringkat tertinggi untuk tiga atau empat musim lagi.
Apakah rahsia yang membolehkan legenda Portugal itu berada pada tahap terbaik?
Jawapannya nampak mudah biarpun tidak mudah untuk memenuhinya – jangan merokok, tidak mengambil minuman keras, disiplin pemakanan yang ketat dan sentiasa bekerja kuat di gimnasium.
“Ketika ini, secara biologinya saya rasa seperti berusia 23 tahun.
“Saya masih punya masa yang panjang dan boleh beraksi sehingga 41 tahun,” kata Ronaldo. – AGENSI