Liga M sedia terima penonton? - Utusan Malaysia

Liga M sedia terima penonton?

REEZAL Merican Naina Merican (empat dari kanan) menonton perlawanan Liga Super antara Kedah dan Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam. Hadir sama Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kiri) dan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin (lima dari kanan). - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan membenarkan kembali penonton menghadiri perlawanan di stadium selepas saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bersambung sejak 28 Ogos lalu, terus berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengakui berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan pasukan bertanding selepas beliau sendiri ‘turun padang’ memantau pelaksanaannya ketika perlawanan antara Kedah dan Sabah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengharapkan kerjasama semua pihak dapat diteruskan bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia (Liga M) sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Saya melihat sendiri pematuhan SOP yang ditetapkan di mana mereka melaksanakannya dengan baik bagi perlawanan malam ini (kelmarin). Saya juga mendapat maklumat mengenai perlawanan yang lain dan semuanya berjalan dengan lancar.

“Dengan pematuhan penjarakan fizikal dan SOP ketika pendaftaran masuk sehinggalah ke dalam stadium, semuanya dalam keadaan baik dan saya berharap ia akan berterusan. Jika ia terus positif seperti ini, kita boleh maju ke Fasa 5 dan 6 pula.

“Sekarang kita di Fasa 4 iaitu kebenaran mengadakan pertandingan domestik tanpa kehadiran penonton. Jadi kalau ini dapat berterusan dengan baik, mungkin kita boleh meyakinkan MKN dan KKM untuk beralih ke fasa seterusnya pula.

“Tapi saya tidak mahu letak apa-apa harapan kerana lebih penting adalah semua pihak dapat terus melaksanakan pematuhan SOP dengan tegas bagi mengelak sebarang kemungkinan jangkitan COVID-19. Apa pun, saya memang cukup berpuas hati dengan apa yang dilakukan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Sebagai rekod, sebanyak 48 perlawanan membabitkan aksi Liga Super dan Liga Perdana berlangsung dalam normal baharu dengan semua berjalan dengan lancar sekalipun perlu mengikuti SOP ketat dan tanpa kehadiran penyokong.

Saingan Liga M ditangguhkan selama lima bulan bermula 16 Mac susulan pandemik COVID-19.

Dengan saingan musim ini terpaksa dilangsungkan sekadar satu pusingan, aksi kini hanya berbaki tiga perlawanan lagi sebelum pasukan memberi fokus untuk Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya