KOTA BHARU: Kelibat Norizam Tukiman turun menyaksikan latihan The Red Warriors (TRW) semalam menimbulkan tanda tanya apakah pakar pelaburan itu semakin hampir untuk memiliki pasukan Kelantan.
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengakui, dua pertemuan sudah diadakan dengan Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
Rundingan ketiga akan diadakan hari ini dan dijangka memuktamadkan perjanjian.
Pertemuan sulung kedua-dua pihak berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu dihadiri Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid dan Setiausaha Agung, Husin Deraman.
Pertemuan diadakan sekali lagi di Kota Bharu semalam, sehari selepas Norizam dibawa melihat latihan pasukan di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Pasir Tumboh.
“Saya teruja pemain cukup bersemangat walaupun terpalit dengan isu tunggakan gaji.
“Saya harap penyokong terus berdoa agar apa yang dirancang akan berjalan lancar demi kebaikan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Husin ketika dihubungi berkata, pertemuan hari ini akan menjadi penentu kepada penswastaan TRW.
Ia akan membincangkan mengenai syarat yang ditetapkan kedua-dua belah pihak.