KUALA LUMPUR: Tampil dengan penampilan baharu yang kurus dan lebih sihat membuatkan penyokong bola sepak negara tertanya-tanya apakah rahsia diamalkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Selepas menerima banyak pertanyaan, TMJ yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya berkongsi tips bagaimana di mampu menurunkan berat badan tanpa mengambil suplemen (produk tambahan).
“Saya terima banyak mesej yang bertanya mengenai rutin harian dan senaman yang dilakukan. Saya telah berjaya hilangkan 22 kilogram (kg) berat badan saya yang kini 68kg.
“Apa paling mustahak adalah pemakanan yang merangkumi 70 hingga 80 peratus dan saya tidak mengambil apa-apa suplemen, selain senaman yang konsisten. Setiap pagi saya akan minum jus, sayuran dan buah-buahan.
“Ramai cakap tiada gimnasium besar dan sebagainya tapi saya hanya guna ruang kecil untuk turunkan 22kg, selain melakukan senaman tidak lebih sejam.
“Saya boleh ajar anda bagaimana menghilangkan berat badan dalam masa 20 minit, tidak perlu dua tiga jam di gimnasium atau lari jarak jauh.
“Saya suka melakukan pelbagai senaman kardio dalam bentuk set, untuk masa satu minit, 20 saat bagi setiap set senaman itu dilakukan,” kata Tunku Ismail dalam Insta Story miliknya semalam.
Tunku Ismail turut berkongsi pengalaman rakannya yang meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat serangan jantung walaupun sering ke gimnasium dan mempunyai tubuh badan sasa.
“Saya ada kawan berusia 42 tahun dan rapat dengan saya pergi gym setiap hari dan badan sasa tapi meninggal kerana serangan jantung, salah satu faktor kerana salah makan. Jadi makanan paling penting selain jalani gaya hidup sihat,” jelasnya.
Dalam pada itu, TMJ turut menyuarakan impian untuk membina sebuah gimnasium khas untuk rakyat Johor pada masa akan datang.
“Suatu hari saya akan buka sendiri yang dibuka untuk orang awam dan anda semua dapat melakukan senaman. Saya juga akan promosi gaya hidup sihat dan juga pemakanan untuk bangsa Johor, itu agenda masa depan JDT,” katanya lagi.