Bayern tak sabar jumpa Barcelona - Utusan Malaysia

Bayern tak sabar jumpa Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Kemenangan selesa yang dicatat ke atas Chelsea dalam pusingan 16 akhir membuatkan Bayern Munich amat ghairah untuk menentang pencabar seterusnya, Barcelona pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Bayern nyata terlalu kuat buat Chelsea apabila mudah menjinakkan kelab Liga Perdana Inggeris itu 4-1 awal pagi tadi.

Juara Bundesliga itu turut menang besar 3-0 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir di London Februari lalu, sekali gus mara secara agregat 7-1.

Pertemuan dua bekas juara, Bayern-Barcelona akan berlansung di Lisbon, Portugal pada15 Ogos.

Dalam aksi di Allianz Arena hari ini, Robert Lewandowski bukan sahaja meledak dua gol pada minit ke-52 dan 53, malah mencipta dua bantuan gol.

“Kami sudah tidak sabar (bertemu Barcelona). Kami ada skuad berkualiti dan mahu mencabar mereka, tiada apa yang kami takuti ketika ini.

“Kami mahu menunjukkan kekuatan kami dan fokus 100 peratus menjelang pertemuan itu,” kata bek kiri Bayern, David Alaba kepada Sky Sports.

Selain dua gol Lewandowski, dua lagi jaringan Bayern disempurnakan oleh Ivan Perisic dan Corentin Tolisso.

Chelsea cuba membalas dengan merapatkan jurang menerusi Tammy Abraham pada minit ke-44, namun tidak banyak dapat dilakukan Blues kerana ketangkasan penjaga gol lawan, Manuel Neuer.

Ini adalah kekalahan kedua Chelsea dalam tempoh seminggu selepas tumpas 1-2 kepada Arsenal pada final Piala FA, 2 Ogos lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN