LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer kecewa pasukannya diberi layanan berat sebelah berbanding Chelsea menjelang separuh akhir Piala FA, Ahad ini.
United bertandang ke Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi ini, manakala Chelsea sudah terlebih dulu menerima kunjungan Norwich City di London kelmarin, yang mana mereka menang 1-0.
“Mereka diberi rehat 48 jam lebih panjang berbanding kami. Itu tidak adil.
“Kita bercakap tentang jadual yang adil, ini tidak betul.
“Sekarang, kami kena fikirkan dulu tentang perlawanan pada Khamis dan wajib memenanginya untuk menghidupkan peluang merebut slot empat terbaik. Sedangkan Chelsea (yang juga pencabar utama United dalam perebut empat tempat teratas) sudah boleh melakukan persiapan lebih awal,” kata Solskjaer.
Meskipun dihimpit jadual padat, namun Solskjaer tetap yakin dengan tahap kecergasan pasukannya dalam memburu kelompok empat teratas ketika saingan berbaki tiga perlawanan.
“Dua minggu berikutnya akan padat dan kemudian kami akan cergas dan terus cergas,” katanya.
The Blues kini menghuni tanga ketiga liga dengan mengumpul 63 mata manakala United di tempat kelima, berkongsi 59 mata bersama pasukan tangga keempat, Leicester City. – AGENSI