PETALING JAYA: Jika Johor Darul Ta’zim (JDT) menguasai bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu, Johor Jewels pula muncul kuasa baharu bola jaring tanah air apabila merangkul kejuaraan Sooka Liga Super Bola Jaring (NSL) 2022 kelmarin.
Lebih istimewa, jika Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi inspirasi kebangkitan bola sepak Johor, isteri baginda, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam adalah Penaung Di Raja Persatuan Bola Jaring Negeri Johor.
Kelmarin, Johor Jewels yang dibarisi beberapa pemain handalan seperti An Najwa Azizan, Nurfariha Abdul Razak, selain tonggak import dari Sri Lanka, Gayani Samanthika menumpaskan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats 50-40 dalam final di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Anak-anak buah Fazira Mesnan menunjukkan penguasaan penuh dalam dua suku pertama apabila menamatkan saingan dengan kedudukan 17-8 dan 31-20.
Bagaimanapun, bersambung suku ketiga, jurulatih KL Wildcats, Norizan Rajab menukar strategi untuk mengejar Johor Jewels sehingga berjaya mengutip mata demi mata untuk menjadikan kedudukan 39-34.
Pada suku empat, permainan bertambah sengit, namun Gayani yang bermain di posisi goal keeper (GK) berjaya mematahkan serangan KL Wildcats untuk pasukan Selatan tanah air itu menang 50-40.
“Edisi kali ini sangat berbeza dengan kehadiran penyokong yang sangat ramai, aksi final seperti perlawanan akhir bola jaring pada Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017. Saya sangat teruja dengan situasi ini.
“Boleh dikatakan, kami memberikan segala-galanya dalam perlawanan akhir ini kerana KL Wildcats menampilkan saingan yang sangat sengit, mereka juga bermain dengan baik pada keseluruhannya.
“Kemenangan ini adalah untuk semua peminat dan juga rakan sepasukan yang banyak berkorban selama ini. Terima kasih kerana menyokong sukan bola jaring Malaysia,” kata kapten Johor Jewels, Pow Mei Foong.
Kemenangan itu membolehkan Johor Jewels membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 manakala KL Wildcats meraih RM10,000 dan Selangor Angels ditempat ketiga dengan RM7,000.
Dalam pada itu, kapten KL Wildcats, Nordiyanah Noor Sabadinee dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP) bagi saingan Sooka NSL 2022.
Anugerah itu secara tidak langsung mengubati kekecewaan Nordiyanah selepas gagal membantu KL Wildcats mempertahankan kejuaraan NSL yang dimenangi pada edisi pertama tahun lalu.