MELAKA: Kejohanan Le Tour de IPT (LTdIPT) yang julung kali diadakan bermula hari ini menjadi pentas mencungkil bakat pelumba basikal dalam kalangan pelajar universiti bagi mewakili pasukan kebangsaan.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, walaupun LTdIPT tidak sehebat Le Tour de Langkawi, namun penampilan pelajar boleh diketengahkan untuk mewakili negara.
Menurutnya, KPT membuat keputusan bahawa kejohanan itu akan diadakan sepanjang tahun dan bukan lagi secara sekali anjur seperti kelaziman penganjuran sukan lain sebelum ini.
“Kalau dulu kita menganjurkan sebarang sukan hanya setahun sekali, namun KPT buat transformasi untuk kejohanan sepanjang tahun, bukan sahaja acara lumba basikal tetapi juga olahraga dan sepak takraw.
“Ini membolehkan seluruh atlet institusi pengajian tinggi (IPT) bersedia sepanjang tahun untuk menyertai sebarang kejohanan dianjurkan.
“KPT berharap kewujudan kejohanan ini dapat membantu merancakkan sukan berbasikal dan melahirkan pelumba-pelumba yang datangnya dari IPT,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pasukan dan Perasmian LTdIPT 2023 di Dewan Pusat Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal di sini, semalam.
Majlis telah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam serta dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan Naib Canselor UTeM, Dr. Massila Kamalrudin.
Tambah Pekan, LTdIPT melibatkan seramai 120 pelumba daripada 16 IPT awam dan swasta melalui empat peringkat perlumbaan.
Katanya, kejohanan selama empat hari itu bermula di Kolej Komuniti Segamat, Johor dan berakhir di KPT, Putrajaya pada Selasa ini.
“Pelumba berusia antara 18 tahun hingga 27 tahun melalui jarak keseluruhan sejauh 332.7 kilometer (km) dan hadiah keseluruhan yang ditawarkan berjumlah RM40,000,” jelasnya. – UTUSAN