Truman patah tulang selangka dilanggar pada kelajuan tinggi

Truman patah tulang selangka dilanggar pada kelajuan tinggi

KEADAAN Joe Truman yang terbabit dalam kemalangan ngeri selepas berlanggar dengan Matt Glaetzer (kanan) pada perlumbaan keirin Sukan Komanwel 2022 di Velodrom Lea Valley Velopark, London semalam. – IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pelumba England, Joe Truman tidak sedarkan diri seketika dan patah tulang selangka selepas terlibat dalam kemalangan ngeri pada perlumbaan keirin lelaki Sukan Komanwel 2022 semalam.

Truman, 25, memerlukan oksigen untuk membantu pernafasan selepas secara tidak sengaja dilanggar pelumba Australia, Matt Glaetzer pada saingan repechages di Velodrom Lea Valley Velopark, London.

Pelumba kelahiran Hampshire itu segera dirawat oleh doktor di trek sebaik sahaja dia mula sedarkan diri dan kemudian dibawa dengan kerusi roda oleh paramedik ke hospital berdekatan.

Truman berada di tempat yang salah pada waktu salah dalam pusingan terakhir. Dia tidak boleh ke mana-mana ketika juara dua kali, Glaetzer melanggarnya pada kelajuan 70 kilometer sejam (km/sj).

Pakaian kulit Glaetzer terkoyak menampakkan punggungnya, dan dia kelihatan go­yang ketika berjalan sebelum rebah di atas trek.

Juara Olimpik enam kali, Sir Chris Hoy dari Scotland berkata, insiden yang menimpa Truman membuktikan keirin adalah perlumbaan yang amat berisiko kerana setiap pelumba bersaing dengan rapat untuk memintas satu sama lain.

“Anda berlumba sedekat mungkin dengan pelumba di sekeliling. Matt Glaetzer dihimpit pelumba lain, dia pergi ke belakang Jack Carlin dan jatuh ke kanan, dan Joe Truman tidak mempunyai tempat untuk pergi,” kata Hoy.

Menurut Hoy, insiden yang menimpa rakan Truman antara insiden yang boleh berlaku pada bila-bila masa dalam perlumbaan keirin.

“Ia hanyalah satu daripada perkara yang perlu anda hadapi dan ia mengingatkan kami betapa sukarnya perlumbaan ini dan betapa beraninya mereka yang berada di atas trek,” katanya.

Seorang lagi juara Olimpik Britain, Chris Boardman berkata, dia amat ngeri ketika melihat kemalangan itu, namun lega Truman tidak mengalami kecederaan lebih parah.

“Melihat Truman bangun membuatkan saya rasa lega. Dia tidak bergerak selama beberapa saat dan itu membuatkan saya cemas seketika,” katanya.

Pelumba Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul memenangi pingat emas keirin, meninggalkan Jack Carlin dari Scotland dengan perak dan pelumba Malaysia, Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya