MELAKA: Badminton akan dijadikan salah satu acara baharu dalam temasya Sukan Melaka 2024, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP. Shanmugam.
Shanmugam berkata, beliau menerima banyak cadangan daripada pelbagai pihak mengesyorkan acara itu dipertandingkan, selain lima sukan sedia ada iaitu bola sepak, bola jaring, futsal, sepak takraw dan bola keranjang.
“Saya akan kemukakan cadangan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh agar acara badminton diletakkan sebagai salah satu acara bagi menjadikan sebanyak enam acara dipertandingkan tahun depan.
“Saya lihat kewajarannya badminton diselitkan memandangkan ia mendapat permintaan tinggi daripada semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Aktif@Komuniti Peringkat Negeri di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, semalam.
Tambah Shanmugam, Sukan Melaka yang diperkenalkan tahun ini diteruskan pada 2024 di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat maklum balas baik pelbagai pihak.
Menurutnya, ramai golongan belia khususnya meminta kerajaan negeri terus menganjurkannya serta menambah acara.
Lebih menarik katanya, atlet luar Melaka seperti dari Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan dan Johor juga ingin menyertai Sukan Melaka, namun kerajaan negeri terpaksa menolaknya kerana ia dikhususkan kepada penduduk negeri ini.
“Sukan Melaka 2024 dijangka akan membuka tirai pada Mei dengan perancangan lebih teratur bagi memastikan acara itu terus mencapai objektifnya iaitu untuk menyatupadukan masyarakat menerusi sukan,” katanya. – UTUSAN