LONDON: Erik ten Hag memberi amaran, Jadon Sancho mungkin tidak akan bermain lagi untuk Manchester United.
Pengurus United itu sudahpun mengeluarkan bintang England tersebut daripada skuad utama minggu ini ekoran persengketaan antara mereka.
Keadaan menjadi tegang apabila Sancho, 23, mempersoalkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ten Hag kepada media, bahawa dia tidak diturunkan dalam aksi menentang Arsenal, 3 September lalu kerana tidak berlatih dengan bagus.
United tumpas 3-1 dalam perlawanan di Emirates itu, dan Sancho merasakan dia telah dijadikan ‘kambing hitam’ oleh pengendalid ari Belanda itu.
Ditanya sama ada Sancho akan bermain lagi untuk United selepas ini, Ten Hag membalas: “Tidak tahu.
“Saya duduk di sini kerana kami ada perlawanan menanti. Kami akan memasuki beberapa pertarungan, jadi saya hanya fokus kepada itu.”
Sancho diarah menjalani latihan bersendirian dan dan diasingkan daripada skuad utama minggu ini ketika rakan-rakan lain dalam persiapan menghadapi Brighton.
Ramai yang melihat episod Ten Hag-Sancho sama seperti situasi yang pernah berlaku kepada bintang Portugal, Cristiano Ronaldo.
Ronaldo disingkirkan tahun lalu selepas mengkritik kelab dan pengurus dalam wawancara bersama Piers Morgan.
Ten Hag tidak tahu berapa lama prosedur disiplin Sancho akan berjalan tetapi memberi bayangan dia tidak terkesan tanpa pemain sayap yang dibeli daripada Borussia Dortmund pada harga 73 juta pound (RM423.52 juta), dua tahun lalu.
“Mengenai proses disiplin, seperti yang saya katakan, saya tidak memikirkan tentang itu.
“Saya hanya fikir tentang perlawanan kami. Dia (Sancho) tidak ada sekarang, jadi pada masa ini dia tidak penting kerana tak boleh menyumbang apa-apa,” katanya. – AGENSI