PETALING JAYA: Biarpun menerima permohonan maaf Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek tidak akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan dengan semudah itu, sebaliknya mahu melihat kandungan surat tawaran mereka.
Jurulatih berpengalaman itu masih menanti surat rasmi daripada BAM yang menawarkan semula jawatan jurulatih perseorangan remaja negara sebelum membuat keputusan lanjut.
“Setakat ini, belum ada sebarang surat tawaran rasmi daripada BAM. Apabila sudah ada surat tawaran rasmi nanti, barulah Misbun akan mempertimbangkan dan buat keputusan.
“Beliau mahu lihat dulu apa isi kandungan dan perincian mengenai tawaran yang diberikan BAM itu,” kata pembantu peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengadakan sidang akhbar khas meminta maaf kepada Misbun kerana kontraknya yang sepatutnya berakhir pada Disember telah ditamatkan lebih awal.
Norza turut menawarkan tempat kepada jurulatih berusia 63 tahun itu untuk terus melatih pemain remaja negara sehingga kontraknya berakhir.
“Apabila Tan Sri Norza sendiri yang membuat permohonan maaf, Misbun mengakui beliau berasa lega.
“Misbun menerima permohonan maaf dan anggap perkara ini selesai, beliau tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.
“Buat masa ini, Misbun belum bersedia bertemu media dan beliau meminta saya membuat kenyataan berhubung perkara ini. Apa yang saya sampaikan, inilah yang diluahkan sendiri oleh Misbun,” jelas Kamal.
Selepas dipecat pada Jumaat lalu, Misbun bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek mengadakan sidang akhbar, Isnin lalu meluahkan rasa terkilan kerana BAM mendakwa penamatan kontraknya dibuat secara persetujuan bersama sedangkan beliau tidak pernah bersetuju.
Jalani pula mendakwa, abangnya dijadikan ‘kambing hitam’ atas kegagalan Malaysia dalam Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia bulan lalu sedang kan semua pemain menunjukkan prestasi buruk sama ada perseorangan mahu pun beregu.