PETALING JAYA: Hampir 200 peserta dari lapisan peringkat umur menghangatkan kejohanan Astro Badminton Cup (ABC) yang julung kali diadakan minggu lalu.
Sebanyak tiga kategori iaitu beregu lelaki terbuka, beregu lelaki senior dan beregu campuran terbuka dipertandingkan sepanjang kejohanan yang berlangsung di Setia Alam dari 18-20 Ogos lalu.
Kejohanan yang menarik penyertaan pemain seawal usia 14 tahun hingga 58 tahun itu menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000.
Pemain beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem berkata, kejohanan tiga hari itu telah melahirkan ramai bakat baharu yang boleh diketengahkan untuk mempromosi gaya hidup sihat dan aktif dalam masyarakat.
“Saya menyokong inisiatif Astro mengadakan kejohanan di peringkat komuniti seperti ini di mana para pemain elit negara juga berpeluang bersama-sama menyalurkan tenaga dan berkongsi pengalaman untuk memberi inspirasi,” katanya.
Juara beregu campuran yang turut dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), Chun Kin Seng berkata, kejohanan bertaraf profesional ini menjadi platform untuk mempamer bakat bertanding dengan pemain sosial lain dalam skala lebih sukar.
“Ini pendedahan terbaik untuk pemain-pemain muda menyerlah dan membuka peluang kepada pasukan-pasukan elit. Saya harap lebih banyak kategori akan dibuka terutama kategori perseorangan pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir memeriahkan kejohanan ialah Oliam negara, Chan Peng Soon, Low Juan Shen dan Nur Mohd. Azriyn Ayub. – UTUSAN ONLINE