PETALING JAYA: Tindakan Lee Zii Jia mahu berhenti bermain seketika bagi mengembalikan keyakinannya tidak salah, namun ia akan menjadi ‘bahaya’ jika dia berehat terlalu lama, kata legenda badminton negara, Lee Chong Wei.
Tegas Chong Wei, ketika proses kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 sedang berjalan, juara All England itu perlu segera menyelesaikan masalahnya dan kembali ke pentas pertandingan bagi memburu mata.
“Kalau kita lihat dia bermain memang nampak dia sudah hilang keyakinan tetapi sekarang pemburuan mata Olimpik sudah bermula.
“Zii Jia boleh berehat tapi tak boleh terlalu lama, ranking dia sudah jatuh dari No. 2, sekarang No. 11 dunia dan minggu depan mesti jatuh lagi.
“Saya harap dia akan berbincang dengan Wong Tat Meng apabila jurulatihnya itu pulang ke tanah air. Saya yakin lagi beberapa minggu Tat Meng akan menyertai pasukan Zii Jia,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Zii Jia, 25, mengejutkan ramai pihak apabila mengakui, motivasinya untuk bermain semakin hilang gara-gara sering kandas di pusingan awal, dan mahu berehat seketika daripada menyertai sebarang kejohanan.
Keputusan itu dibuat sejurus selepas kalah 17-21, 13-21 kepada pemain No. 20 dunia dari India, Lakshya Sen pada pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Sebagai pengurus pasukan badminton untuk program Road To Gold (RTG), Chong Wei sedia berjumpa Zii Jia bagi membantu pemain tersebut.
“Hari Isnin kita ada mesyuarat dan mungkin selepas itu, saya jumpa Zii Jia untuk mengetahui situasi sebenar,” ujarnya.
Mengulas mengenai kualiti permainan Zii Jia, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu berkata, pemain tersebut memerlukan rakan sepelatih yang berkualiti.
“Pengalaman semasa bersama BAM (Persatuan Badminton Malaysia), untuk jangka panjang rakan sepelatih berkualiti amat penting, jadi, Zii Jia perlu bincang dengan Tat Meng tentang perkara ini,” katanya.