MELAKA: Pemain badminton pekak negara, Boon Wei Yin menjadi penerima insentif kemenangan tertinggi daripada keseluruhan 43 atlet negeri ini iaitu sebanyak RM60,000 atas kejayaannya di Sukan Deaflympics Brazil, Mei tahun lalu.
Atlet kelahiran Klebang itu menerima insentif atas kejayaannya memenangi satu pingat emas, perak dan gangsa pada kejohanan tersebut.
Wei Yin, 28, meraih emas dalam acara beregu wanita berpasangan bersama Foo Zu Tung menamatkan penantian 21 tahun selepas kali terakhir pingat itu diperoleh menerusi Zana Azizul Ujang di Sukan Deaflympics Itali 2001.
Beliau yang turut bergandingan dengan Edmund Teo Seng Keong meraih perak melalui beregu campuran dan gangsa bagi acara individu.
“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang menghargai usaha kami untuk membawa kejayaan kepada negara.
“Saya harap dapat meningkatkan prestasi dan meraih lebih banyak pingat untuk negara di masa depan. Tumpuan saya kini pada Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia di Brazil, bulan depan dan berazam untuk meraih gelaran juara,” katanya.
Wei Yin ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA Ke-32 Kemboja 2023; Insentif Jurulatih Sukma Ke-20 MSN 2022; Insentif Atlet Para Sukma Ke-20 MSN 2022 dan Insentif Atlet Deaflympics 2022 Brazil.
Sebanyak RM334,350 diperuntukkan bagi pemberian insentif kemenangan kepada 43 atlet dan 30 jurulatih. Ia membabitkan 13 atlet Sukan Sea Kemboja, 29 atlet Para Sukma MSN 2022 termasuk Wei Yin di Sukan Sukan Deaflympics Brazil.
Sementara itu, jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang meraih pingat gangsa dalam acara 4 kali 100 meter di Sukan SEA Kemboja menerima RM6,000.
“Tumpuan saya kini ke arah persiapan menghadapi temasya Sukan Asia September ini dan Kejohanan Trek dan Padang Asia bulan depan,” katanya. – UTUSAN