PETALING JAYA: Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang memburu kemenangan pertama mereka tahun ini apabila melangkah ke separuh akhir beregu lelaki badminton Terbuka Singapura hari ini.
Juara dunia itu muncul pasangan Malaysia pertama pertama mara ke separuh akhir beregu lelaki Terbuka Singapura dalam tempoh 15 tahun selepas menumbangkan juara bertahan, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia 18-21, 21-16, 22-20 pada pertarungan sengit 78 minit.
Aaron-Wooi Yik menunjukkan keberanian menyelamatkan tiga mata perlawanan untuk memaksa deuce pada kedudukan 20-20 di set ketiga, sekali gus membalas dendam atas kekalahan kepada Leo-Daniel di Malaysia Masters, dua minggu lalu.
#SingaporeOpen2023 𝓼𝓽𝓪𝓽 𝓸𝓯 𝓽𝓱𝓮 𝓭𝓪𝔂
Malaysia have 2⃣ men's doubles quarterfinalists for the first time in 1⃣5⃣ years.
The last time it happened in 2⃣0⃣0⃣8⃣, they went on to win the discipline.#BWFWorldTour pic.twitter.com/1U69rQx30g
— BWF (@bwfmedia) June 9, 2023
“Walaupun menang, saya rasa ini bukan perlawanan yang kami boleh berpuas hati sebab di set penentuan kita mendahului lawan dengan jurang besar tapi akhirnya kita menang dengan ‘deuce’.
“Itu yang selalu terjadi kepada kami selepas mendahului lawan, banyak buat kesilapan sendiri. Perkara inilah yang harus kami perbaiki,” kata Aaron.
Aaron-Wooi Yik yang juga beregu keempat dunia dijadual bertemu lawan lebih sukar di pentas separuh akhir esok apabila berdepan gandingan ketiga dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik hanya mencatat satu kemenangan dalam empat pertemuan menentang gandingan China berkenaan dan ia adalah pertembungan kali kedua buat mereka bagi musim 2023.
Aaron-Wooi Yik merekodkan kemenangan pertama 22-20, 21-13 ketika Masters Indonesia Januari lalu selepas dikecewakan di final Terbuka India sebelum itu, 21-14, 19-21, 18-21. – UTUSAN ONLINE