KUALA LUMPUR: Pemain badminton beregu campuran negara, Chen Tang Jie mengakui, sejak dia dan Toh Ee Wei melonjak ke ranking 22 dunia, fokus lawan mula beralih ke arah mereka.
Walaupun baru digandingkan hujung tahun lalu, pemain berusia 25 tahun itu berkata, lawan tidak menunggu lama untuk mengkaji corak permainan dia dan Ee Wei.
Katanya, sejak menjuarai kejohanan antarabangsa pertama mereka di Orlean Masters, Perancis bulan lalu sudah ada pencabar membuat kajian tentang mereka.
“Mereka tak tunggu lama, semasa di Orlean Master lagi, saya mula dapat rasa pencabar kami sudah mula kaji permainan kami.
“Tapi jurulatih Nova (Widianto) kata kepada kami tak perlu takut, jika dapat kekalkan prestasi konsisten dan percaya kepada diri sendiri, semua itu tak jadi masalah,” katanya.
Menurut Tang Jie, mendapat bimbingan Nova yang merupakan bekas juara dunia dan pemenang pingat perak Olimpik, bukan sahaja mengubah corak permainannya, malah membentuk dirinya dan Ee Wei menjadi pemain yang lebih matang.
Jelasnya, jurulatih kelahiran Indonesia itu juga sering memintanya agar fokus kepada latihan kerana prestasi yang konsisten biasanya datang daripada sesi latihan yang mantap.
“Dia sentiasa bagi tahu kita fokus kepada latihan, kalau semasa berlatih boleh konsisten, jadi sewaktu bertanding sudah tentu boleh lakukan perkara yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai Piala Sudirman yang akan membuka tirai 14 Mei depan, dia bersedia menggalas tanggungjawab besar biarpun ada empat beregu campuran disenaraikan.
“Selepas Kejuaraan Badminton Asia di Dubai, kita hanya ada seminggu berlatih sebelum berangkat ke Piala Sudirman (14-21 Mei di Suzhou, China), kita ada dua senior Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.
“Selain itu, saya dan Ee Wei serta Ho Pang Ron-Teoh Mei Xing turut disenaraikan, kita akan cuba yang terbaik untuk dapatkan mata, kalau tidak berjaya kena percaya kepada rakan sepasukan,” katanya.
“Selepas Kejuaraan Badminton Asia di Dubai, kita hanya ada seminggu berlatih sebelum berangkat ke Piala Sudirman (14-21 Mei di Suzhou, China), kita ada dua senior Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai,” ujarnya.