PETALING JAYA: Tidak semua pihak gembira apabila perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia mengumumkan Wong Tat Meng sebagai jurulatih baharunya, antaranya perseorangan lelaki Hong Kong, Angus Ng Ka Long.
Tat Meng mengikat kontrak bersama Persatuan Badminton Hong Kong selama dua tahun sejak Jun tahun lalu selepas kontraknya bersama Korea Selatan tamat.
Bagaimanapun, Tat Meng meninggalkan tempatnya sebagai jurulatih perseorangan lelaki negara itu untuk melatih Zii Jia yang bergerak solo selama tujuh bulan setelah pemain No. 10 Dunia itu mengambil keputusan berpisah dengan Indra Wijaya.
Bagi Angus, biarpun dia sudah mengetahui perkara itu lebih awal, ia tetap situasi yang agak janggal memandangkan dia dan rakan sepasukan yang lain hanya mempunyai tiga bulan sahaja lagi untuk membuat persediaan ke Sukan Asia selain tempoh setahun untuk persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Terdahulu, Zii Jia pernah berkelana menjalani latihan bersama Angus dan beberapa pemain lain di bawah kendalian Tat Meng di Hong Kong Januari lalu sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatua (UAE).
“Setiap orang ada impian mereka, Tat Meng memilih untuk meletakkan jawatan dan memikul tugas melatih pemain negaranya, kami tidak berhak untuk menyekatnya.
“Saya percaya ramai peminat badminton sudah mengetahui pasukan Zii Jia sudah mendapatkan Tat Meng sebagai ketua jurulatih, ini bermakna jawatan untuk jurulatih perseorangan lelaki di Hong Kong perlu diisi,”
“Sekarang dia meninggalkan kami dengan situasi hanya tiga bulan sebelum Sukan Asia berlangsung dan menyertai salah satu pasukan seteru utama.
“Beliau sekarang ini, meletakkan kami dalam situasi janggal,” kata Ka Long menerusi akaun media sosialnya.
Difahamkan kontrak Tat Meng bersama skuad Hong Kong akan tamat pada 30 Jun depan, namun kelibatnya tidak kelihatan tatkala barisan pemain Hong Kong sedang berjuang di Masters Malaysia ketika ini.-UTUSAN ONLINE