KUALA LUMPUR: Dua pemain pilihan, Leong Jun Hao dan Siti Nurshuhaini Azman dipaksa berhempas pulas sebelum melangkah ke perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki serta wanita Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Turun sebagai pilihan kedua, pemain kebangsaan, Jun Hao yang mewakili Wilayah Persekutuan (WiPers) diheret sehingga tiga set oleh Jacky Kok dari Kedah sebelum menang 16-21, 21-12, 21-12 dalam tempoh 54 minit.
Kemenangan itu menebus kekecewaannya dalam Sukma Perak 2018 apabila tewas di suku akhir.
“Saya akui beraksi di sini agak sukar kerana faktor angin yang kuat tetapi saya lega kerana berjaya mengatasi Jing Hong.
“Untuk final esok (hari ini), peluang sebenarnya adalah terbuka, selagi belum lawan sesiapa pun berpeluang, dan tidak boleh melakukan kesilapan untuk jadi juara,” kata Jun Hao.
Perseorangan wanita pula menyaksikan pemain kebangsaan, Siti Nurshuhaini Azman menyekat kemaraan pemain meningkat naik WiPers, Amanda Yap untuk menempah tiket final dalam penampilan sulungnya pada temasya itu.
Amanda dilabel ancaman selepas berjaya mengejutkan seorang lagi pemain kebangsaan, Eoon Qi Xuan pada pusingan kedua, Shuhaini nyaris menjadi mangsa apabila tumpas pada set pertama.
Bagaimanapun pemain cilik ini berjaya bangkit dengan mengubah strategi untuk melakar kemenangan 15-21, 21-11, 21-13.
“Saya sebenarnya sudah membuat perancangan rapi untuk melawan Amanda, tetapi saya terpaksa mengubahnya pada saat akhir kerana faktor angin yang kuat.
“Kalau nak diikutkan, saya sudah berjaya mencapai sasaran asal iaitu mara ke final, tetapi sekarang kalau boleh saya nak mencuba untuk dapatkan pingat emas pula,” jelas Shuhaini. – UTUSAN ONLINE