PETALING JAYA: Selepas hampir bergelar juara dunia, akhirnya percubaan kali kesembilan skuad badminton negara menamatkan penantian selama 45 tahun di Kejohanan Badminton Dunia.
Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyifatkan kejayaan yang dikecapi pasangan beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik adalah hadiah terbaik buat Malaysia yang bakal menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-65, Rabu ini.
Beliau berkata, sejak penyertaan Malaysia di kejohanan dunia pada tahun 1977, wakil negara beberapa kali hampir merangkul emas namun terkandas apabila tewas di tangan lawan masing-masing.
“Sejak tahun 1977, Malaysia telahpun beberapa kali nyaris-nyaris merangkul emas tetapi tidak kesampaian. Peliknya, 11 negara sudahpun digelar juara tetapi bukan Malaysia. Percaya tak Sweden, USA dan Singapura dah pernah juara, tapi bukan negara kita.
“Tapi hari ini (semalam), sejarah sudah pun dibetulkan oleh Aaron-Wooi Yik apabila mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Terima kasih Malaysia… Kita juara,” katanya.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.
Mengikut rekod, Chong Wei antara pemain badminton Malaysia paling kerap beraksi di pentas final kejohanan dunia iaitu 2011,2013 dan kali terakhir 2015.-UTUSAN ONLINE