PETALING JAYA: Dua beregu lelaki negara mara ke suku akhir Indonesia Masters selepas masing-masing menewaskan pasangan tuan rumah di Stadium Istora Senayan di Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan pilihan keempat kejohanan melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan Leo Carnando-Daniel Marthin 27-25 21-14 dalam masa 54 minit dalam aksi cukup mendebarkan pada set pertama.
Bersambung set kedua, pasangan negara itu mempamerkan mutu permainan yang berbeza dan menampilkan penguasaan penuh untuk menang 21-14 sekali gus menempah pertemuan dengan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang di suku akhir.
Sementara satu lagi pasangan negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga pilihan kelapan kejohanan mara selepas menang ke atas Sabar Gutama-Reza Isfahani 23-21 17-21 21-9 dalam masa satu jam dua minit.
Namun, tugas berat menanti Sze Fei-Nur Izzuddin untuk merebut slot ke separuh akhir esok apabila akan bertemu pilihan utama kejohanan yang juga pasangan No.1 dunia Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di suku akhir.
Marcus-Kevin mara ke suku akhir selepas pasangan Indonesia itu menewaskan beregu Thailand Supak Jomkoh-Kittinupang Kedren 21-14, 8-21, 21-18 dalam masa 56 minit.
Untuk rekod, Sze Fei-Nur Izzuddin dan Marcus-Kevin pernah bertemu sekali dan ianya memihak kepada pasangan dari Indonesia itu.-UTUSAN ONLINE