PETALING JAYA: Kehadiran tekong berkualiti menjadi antara faktor penentu kejayaan pasukan dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) apabila posisi itu mampu memberikan kelebihan besar menerusi kutipan mata serta kawalan permainan.
Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, kemampuan tekong menghasilkan mata melalui servis, selain mengawal bola dengan baik, bukan sahaja membantu pasukan menguasai perlawanan, malah mampu meningkatkan keyakinan rakan sepasukan.
Katanya, momentum yang dipamerkan pasukan bertanding dalam STL ketika ini jelas memperlihatkan kepentingan memiliki tekong yang dominan bagi memastikan setiap regu mampu memberikan saingan lebih sengit.
Beliau mengambil contoh Perak Bison yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan selepas mendapatkan khidmat tekong Thailand, Pornthep Tinbangbon, yang memberi impak kepada pasukan memenangi Grand Prix (GP) di Pulau Pinang.
Katanya, kehadiran Pornthep memberikan suntikan positif kepada Perak selepas dua tekong import yang dibawa pada GP Perak gagal memberikan impak seperti diharapkan.
“Kehadiran Pornthep memberikan satu suntikan semangat yang sangat besar kepada pasukan Perak apabila mereka berjaya mempamerkan prestasi jauh lebih baik di Pulau Pinang.
“Ini menunjukkan setiap pasukan yang mahu mendapatkan khidmat tekong, khususnya pemain import, perlu memastikan mereka benar-benar mampu mempamerkan aksi terbaik serta menyumbang mata menerusi servis dan kawalan bola,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keupayaan tekong memberikan sumbangan konsisten amat penting kerana ia mampu memudahkan tugas pemain lain dalam regu, sekali gus membuka peluang lebih cerah untuk memburu kemenangan.
Justeru, setiap pasukan perlu memberikan perhatian serius terhadap pemilihan tekong berkualiti kerana posisi itu bukan sekadar pelengkap regu, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada prestasi keseluruhan pasukan sepanjang saingan STL.
Pada saingan di GP Pulau Pinang, Perak Bison muncul juara selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan Antlers dalam aksi straight set 17-15, 15-9 sekaligus menebus kekecewaan selepas tewas dalam dua pertemuan terdahulu.









