PETALING JAYA: Pemain sayap Kuching City, Ramadhan Saifullah Usman wajar diberi peluang menyarung jersi Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan Yaman pada 14 dan 17 November ini.
Jurulatih berpengalaman, Yusri Che Lah berkata, berdasarkan prestasi semasa, Ramadhan mampu menggantikan tempat yang ditinggalkan kapten Selangor FC, Faisal Halim yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Menurut Yusri, Ramadhan memiliki kemampuan untuk menggantikan peranan Faisal atau lebih mesra disapa Mickey, sekali gus menjadikan dua perlawanan berkenaan medan terbaik buat pemain itu membuktikan kualitinya di pentas antarabangsa.
Yusri mengakui ketiadaan Faisal sedikit sebanyak memberi kesan kepada kekuatan pasukan, namun percaya Harimau Malaya mempunyai beberapa pilihan untuk mengisi posisi sayap berkenaan.
“Selain Ramadhan, pemain Selangor FC, A. Selvan dan pemain naturalisasi, Romel Morales sebagai antara pilihan yang boleh dipertimbangkan.
“Jika melihat aksi Liga Super ketika ini, saya boleh nampak beberapa bayangan pemain yang mampu mengisi posisi sama. Mereka perlu memberikan aksi meyakinkan untuk membuktikan kelayakan berada dalam pasukan kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, dua perlawanan berkenaan bukan sekadar medan memburu keputusan positif, sebaliknya peluang untuk pemain membuktikan kemampuan masing-masing dalam usaha mengukuhkan tempat dalam skuad negara.
Aspek kedudukan ranking dunia juga perlu diberi perhatian, namun perkara lebih utama adalah memastikan kesatuan dan prestasi pasukan terus berada pada tahap terbaik menjelang kehadiran ketua jurulatih yang bakal diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Perlawanan persahabatan antarabangsa ini lebih terarah kepada kedudukan ranking kita. Paling penting adalah bagaimana pemain dapat disatukan dan mengekalkan momentum serta prestasi untuk terus berada dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Mengulas kemampuan Tan Cheng Hoe merencana taktikal berdepan dua lawan yang memiliki pendekatan berbeza, Yusri percaya pengalaman pengendali itu di pentas antarabangsa sudah cukup untuk mengenal pasti strategi terbaik, terutama selepas kejayaan membawa Malaysia mencatat rekod tanpa bolos dalam kempen Piala ASEAN FIFA di Indonesia baru-baru ini.
Katanya, perkembangan positif ditunjukkan pemain ketika ini turut membuktikan persaingan mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan semakin sengit, sekali gus memberi gambaran bahawa mereka sudah memahami kehendak taktikal Cheng Hoe.
Mengenai kemungkinan perubahan ketua jurulatih selepas ini, Yusri menegaskan pemain perlu bersikap profesional dan bersedia menerima sebarang keputusan FAM, termasuk menyesuaikan diri dengan pendekatan taktikal baharu sekiranya berlaku perubahan kepimpinan.
“Siapa juga yang dibawa masuk menjadi ketua jurulatih, pemain harus akur dan mengikut pelan taktikal yang disediakan. Itu tanggungjawab mereka sebagai pemain,” katanya.-UTUSAN











